Dua minggu lepas, polis Kuala Lumpur mendedahkan jumlah kerugian membabitkan jenayah komersial di ibu negara sepanjang tahun ini setakat November lalu mening­kat lebih 100 peratus. Sebanyak 1,201 kes direkodkan membabitkan kerugian RM72.5 juta berban­ding 850 kes dengan jumlah kerugian RM35.1 juta pada 2017.

Ini menunjukkan secara purata sebanyak tiga hingga empat kes diterima pihak berkuasa itu setiap hari. Itu jumlah kejadian yang dilaporkan Kuala Lumpur sahaja tidak termasuk negeri-negeri lain.

Sejak 10 tahun lalu, jenayah penipuan Love Scam atau Parcel Scam yang didalangi oleh sindiket warga Afrika sudah pun popular.

Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa malah mence­cah ratusan ribu ringgit. Sindiket tersebut menyasarkan wanita berkerjaya yang hidup kesunyian. Modus ope­randi mereka mudah sahaja iaitu memancing mangsa dengan cara menghantar e-mel berserta ayat-ayat romantis sedangkan setiap bait kata cinta itu sudah disediakan.

Penulis yang pernah me­nyertai operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial me­nemui ‘buku skrip’ tersebut semasa serbuan. Semuanya sudah tersedia dan mereka hanya perlu mengikuti langkah sehinggalah mangsa menyerahkan wang. Dalam sesetengah kes, ada wanita yang sanggup meminjam wang daripada keluarga, kawan dan bank untuk diberikan kepada sindiket yang dianggap kekasih sejati.

Ketika ini, sindiket Macau Scam pula diperkatakan. Sindiket yang dipercayai didalangi oleh warga China dan Taiwan ini melakukan penipuan dengan panggilan palsu.

Ada yang menawarkan cabutan bertuah, tipu culik dan me­minta wang tebusan, serta menggunakan nama pegawai polis, mahkamah dan bank untuk menakut-nakutkan mangsa. Modus operandi mereka berbeza-beza tetapi matlamatnya semua sama iaitu mendapatkan wang.

Kadangkala kita sukar percaya masih ada yang terpedaya menyerahkan wang kepada orang yang tidak dikenali.

Ada yang menganggap mereka (mangsa) ini tamak, tidak kurang juga mendakwa mereka dipukau. Kalau tidak masakan boleh menyerahkan wang sehingga jutaan ringgit seperti kejadian yang menimpa seorang tauke getah yang rugi RM6. 7 juta di Kelantan baru-baru ini. Keluar air mata darah sekali pun wang tersebut pasti tidak dapat dikembalikan.

Penulis bukan hendak me­nuding jari dan terus menekan menyalahkan mangsa-mangsa penipuan ini tetapi langkah perlu diambil sebelum ia menjadi lebih parah. Penulis mungkin mempunyai serba sedikit penge­tahuan mengenai taktik penipuan ini kerana bertugas di meja jenayah tetapi bagaimana dengan masyarakat di luar sana. Mereka yang terdiri daripada golongan warga emas, yang tinggal di luar bandar atau yang sibuk siang dan malam dengan kerjaya. Pesan penulis mudah iaitu usah dilayan panggilan yang mencurigakan.

Seiring perkembangan tek­nologi terkini, aplikasi saringan panggilan spam telah diper­kenalkan. Aplikasi tersebut memudahkan tugas anda dengan memberitahu jika nombor yang tidak dikenali yang sedang memanggil anda ialah nombor talian spam ataupun tidak.

Jika pemanggil memaklumkan mereka daripada institusi perbankan, pegawai polis atau mahkamah jangan mudah pa­nik. Ini kerana setiap tindakan daripada pihak polis mahkamah atau bank biasanya disusuli dengan surat atau notis.

Dalam sesetengah kes pada mulanya mangsa menafikan dia membuat pinjaman bank apatah lagi tunggakan, tetapi kerana panik bimbang aset akan disita mereka terjerat.

Kalau perlu jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut. Inisiatif pihak polis, bank, media dan kerajaan dalam membendung kegiatan ini wajar mendapat pujian.

Setiap hari pasti ada khidmat pesanan masyarakat (PSA) di radio. Itu tidak termasuk pos­ter di bank-bank dan iklan berbentuk pesanan dalam surat khabar. Semuanya bertujuan mengelak masyarakat terus menjadi mangsa. Fikir-fikirkanlah