Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, pada 2017, Loji Air Bertam menunjukkan jumlah pelanggaran parameter Florida tertinggi iaitu sebanyak 326 pelanggaran berbanding 90 pelanggaran pada 2016 dan 11 pelanggaran pada 2015.

Ini diikuti dengan Loji Air Asahan sebanyak 282 pelanggaran dan Loji Air Jus sebanyak 137 pelanggaran.

Katanya, Pihak Audit dimaklumkan oleh Pengurus Operasi Loji, Jabatan Pengeluaran bahawa jumlah pelanggaran parameter Florida yang tinggi disebabkan pemberhentian pendosan Florida yang terpaksa dilakukan bagi memastikan piawaian kualiti parameter aluminium dalam air terawat dicapai.

Laporan itu menyebut pihak audit mencadangkan agar penggantian sistem 'dry feeder' sedia ada kepada 'Solution type' di Loji Air Bertam dilakukan dan SAMB mengunakan dua tangki berkapasiti (7.5m3 ) dengan kelajuan Mixer pada 150 rpm bagi memastikan setiap sesi bancuhan berjalan sekata.

Menurut laporan tersebut, SAMB gagal mencapai tahap minima dalam menyediakan rizab margin minima bagi tempoh 2015 hingga 2017.

Pencapaian rizab margin minima Loji Air Chin Chi pula pada kadar 1.89 peratus kerana beroperasi hampir menyamai kapasiti reka bentuknya namun tidak mengekalkan rizab margin minima yang sepatutnya.

Laporan itu menyebut perkara berkenaan berlaku disebabkan permintaan bekalan air bersih yang tinggi oleh pengguna sekali gus loji-loji tersebut beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk dan tidak mencapai sasaran.

"Ketidakupayaan Loji Air Merlimau dalam mengeluarkan air bersih mengikut kapasiti reka bentuk loji adalah berpunca daripada masalah pencemaran air mentah di Sungai Kesang pada tahun 2014. Pencemaran ini menyebabkan SAMB menghentikan pengambilan air mentah daripada sungai tersebut dan membuat pembelian air mentah dari Sungai Muar bagi meneruskan operasi pengeluaran air Loji Air Merlimau," katanya. - Bernama