Tarikh berkenaan ditetapkan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas pengurusan kes itu di dalam kamar hakim di sini hari ini.

Permohonan itu antaranya membabitkan sabitan bersalah dua tertuduh utama kes pembunuhan warga Mongolia itu iaitu Azilah Hadhri dan Sirul Azhar, Shaariibuu selaku plaintif memfailkan permohonan untuk menggunapakai keputusan kes jenayah yang dalam saman sivilnya itu menerusi peguamnya pada Julai lalu.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu memberitahu, kedua-dua pihak plaintif dan defendan telah memfailkan hujahan masing-masing kepada pihak mahkamah.

"Kami membangkitkan satu isu perundangan berkenaan sama ada kita boleh atau tidak menerima pakai prosiding di mahkamah jenayah untuk kes saman sivil.

"Sekiranya prosiding di mahkamah jenayah boleh diguna pakai di sini, maka kita tidak perlulah memanggil kesemua saksi semula dalam kes ini.

"Jadi, ia satu isu yang penting untuk mahkamah memutuskannya. Oleh itu permohonan sama ada boleh atau tidak akan didengar pada 25 September ini," katanya.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut pampasan RM100 juta.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Altantuya yang merupakan wanita kelahiran Ulan Bator dibunuh antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang.

Pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersetuju supaya kes pembunuhan berprofil tinggi itu dibuka semula selepas bertemu Shaariibu kira-kira 30 minit. - K! ONLINE