Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, selain menyalurkan kejadian jenayah, orang ramai juga boleh menyemak status aduan dan siasatan mereka menerusi talian tersebut.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka seperti kegiatan judi atau jenayah lain dengan hanya menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Bagaimanapun maklumat yang disampaikan itu mestilah betul dan tepat.

"Kita tidak akan melayan sebarang panggilan telefon menerusi talian hotline itu. Orang ramai juga tidak perlu bimbang untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah, kerana semua butiran dan indentiti pemanggil akan dirahsiakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab.

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi bersepadu jenayah khas barang lusuh, curi alat ganti kereta dan motosikal, Mazlan berkata, dalam tempoh awal Januari sehingga 17 Ogos lalu, pihaknya telah melakukan 1,429 serbuan ke atas premis-permis barang lusuh di negeri ini.

"Daripada jumlah serbuan tersebut, sebanyak 413 tindakan saman di bawah Seksyen 6 Akta Barang-Barang Lusuh dan Terpakai 1946 (Akta 189) telah diambil ke atas pengusaha premis barang lusuh yang tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Selain tindakan saman, kita turut menahan seorang pengusaha premis barang lusuh di Ara Damansara, Petaling Jaya dan menemui kira-kira 85 batang kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu,"katanya.

Jelas Mazlan, pihaknya menasihatkan semua peniaga barangan lusuh supaya tidak berurusan atau membeli barangan yang disyaki barang curi.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang didapati membeli atau memiliki barangan curi. Tindakan pembatalan lesen juga akan dikenakan kepada peniaga yang gagal menunjukkan rekod memiliki barangan tersebut,"ujarnya. - K! ONLINE