Beliau berkata, antara contoh pemakanan yang salah dan kurang berkhasiat adalah dengan memilih menu atau makanan dengan kandungan lemak trans, gula putih dan karbohidrat yang tinggi.

“Ini menjadi punca kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hypertensi dan sakit jantung. Selain itu, kurang bersenam atau kurang aktiviti fizikal, stress melampau dan berterusan juga menyumbang kepada masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, penyakit diabetes antara penyakit yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana pemilihan menu yang tidak sihat berpunca daripada kadar glukosa yang tinggi dalam saluran darah dan kegagalan fungsi pankreas dalam menghasilkan insulin dengan sempurna.

Menurutnya, rakyat Malaysia seharusnya mengawal kadar gula dalam darah dengan memastikan corak pemakanan yang diamalkan harus dipantau dengan baik.

“Antara makanan yang wajib kita cegah untuk mengelak penyakit diabetes ialah mengurangkan pengambilan makanan bergula tinggi, makanan bergoreng, makanan mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.

“Harus diingat, makanan yang mempunyai kadar gula yang tinggi dan ia adalah musuh utama bagi pengidap diabetes. Antaranya ialah menu atau makanan yang disediakan menggunakan pemanis seperti ais krim, kuih donat, aneka pastri, coklat susu, makanan dengan campuran manisan buatan,” katanya.


Menyentuh mengenai program kesihatan berunsurkan larian, Doctor Run 2019, yang akan diadakan Mac ini, Norman berkata, sehingga kini, seramai 4,300 peserta telah mendaftarkan diri dan hampir mencapai sasaran penganjur iaitu 5,000 peserta dalam larian yang julung kali diadakan itu.

Jelasnya, beliau optimis jumlah peserta akan meningkat lagi menjelang pendaftaran larian yang akan ditutup pada Jumaat ini.

“Larian ini mempunyai aura yang tersendiri dengan penyertaan lebih kurang 1,700 doktor-doktor bertauliah sekitar seluruh negara. Sokongan daripada mereka dalam memeriahkan larian ini menunjukkan bahawa para doktor amat menggalakan senaman fizikal bagi menjamin kesihatan optimum,” katanya.


Program pada 24 Mac ini akan bermula seawal jam 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Program ini turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.


Orang ramai juga boleh melayari http://checkpointspot.asia/DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run di https://www.facebook.com/doctorrun2019/ untuk maklumat lanjut mengenai acara larian ini. - K! ONLINE