Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, sepanjang Oktober hingga Disember 2018, sebanyak 31 aduan di bawah seksyen itu telah dirujuk kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia.

Seksyen 233 akta itu menjadikan penyalahgunaan talian Internet seperti menyebarkan komunikasi yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengancam atau mengganggu orang lain sebagai satu kesalahan seterusnya dapat memelihara ketenteraman awam.

"Moratorium ke atas Seksyen 233, Akta 588 telah ditarik balik pada Januari tahun ini, namun aduan yang tidak dapat disiasat di bawah seksyen itu disiasat di bawah undang-undang sedia ada yang lain seperti Kanun Keseksaan," katanya di Dewan Negara ketika menjawab soalan Senator T. Mohan yang ingin tahu status kajian seksyen berkenaan dan status kes yang disiasat di bawah seksyen itu.

Pada November tahun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, terdapat moratorium dalam penguatkuasaan akta itu susulan cadangan kerajaan meminda akta itu berikutan Akta Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan yang berkait perkara sama dengan Seksyen 233.

Beliau berkata, langkah meminda Seksyen 233 yang berkaitan salah laku di media sosial serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian adalah untuk mengelakkannya daripada disalah guna, selain bertujuan memansuhkan unsur-unsur bersifat draconian.

Mengenai penahanan aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad, beliau berkata, ia adalah susulan daripada aduan dan ia adalah proses biasa siasatan.

"Sebarang tindakan hanya akan diambil selepas penilaian dan pemerhatian serius dibuat ke atas aduan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jufazli yang ditahan kali kedua pada 20 April bagi membantu siasatan berhubung 'serangannya' di media sosial terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PDRM direman sehari pada 21 April dan disiasat  mengikut Seksyen 233 Akta 588 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Eddin juga berkata, RTM telah diminta menjalankan kajian komprehensif mengenai keperluan untuk memanjangkan masa siaran berita berbahasa Tamil di stesen televisyen RTM daripada setengah jam ketika ini kepada sejam.

"Sekiranya mendapat sambutan dan ada keperluan, tiada masalah untuk memanjangkan waktu siaran berkenaan," katanya. – Bernama