Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga menggesa rakyat di negara ini turut menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh Najib ke arah memastikan pengguna menjadi lebih bijak.

“Saya bersyukur bekas Perdana Menteri turun padang dan mengambil peranan itu. Saya  juga menghargai kesungguhan beliau yang turun ke Pasar Datuk Keramat baru-baru ini.

“Saya suka untuk meminta Datuk Seri Najib membantu kementerian daripada semasa ke semasa dengan lebih kerap kerana kita dapat meneliti isu-isu pengguna seperti ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)  2018 KPDNHEP di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Najib menerusi catatan Facebooknya semalam memaklumkan beliau membuat tinjauan di Pasar Datuk Keramat sehari selepas kerajaan menurunkan harga bahan api.

Jelasnya, harga telur di pasar tersebut meningkat dan peniaga itu juga merungut harga ayam naik daripada RM7.50 kepada RM8.50.

Sehubungan dengan itu, menurut Saifuddin, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah membuat pemeriksaan di Pasar Datuk Keramat selepas menerima aduan daripada Najib.

"Saya telah teliti aduan itu dan laporan tersebut sudah siap namun, saya belum berkesempatan untuk melihatnya.

"Selain itu, bukan sahaja aduan daripada bekas Perdana Menteri namun, aduan rakyat juga akan diambil tindakan," katanya. - K! ONLINE