Lebih menyukarkan keadaan apabila banjir yang bermula pukul 3.15 pagi itu turut mengakibatkan beberapa taman perumahan di kawasan berkenaan bergelap akibat terputus bekalan elektrik.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Saharudin Md. Shah berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.24 pagi.

Katanya, antara kawasan terjejas adalah Kampung Kuil, Jalan Cempaka Taman Daya Maju dan Kawasan Industri.

"Berdasarkan siasatan awal banjir kilat dipercayai limpahan dari kolam takungan air kawasan berdekatan.

"Terdapat beberapa kawasan perumahan terputus bekalan elektrik susulan banjir tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu adalah disebabkan taburan hujan yang lebat dan limpahan air dari Setia Alam.

"Parit yang sedia ada tidak dapat menampung larian air hujan yang menyebabkan rumah penduduk dinaiki air.

"Sebuah keluarga yang tinggal di Persiaran Hamzah, Meru telah di pindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Meru,"katanya. - K! ONLINE