Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan terbaharu itu dilakukan sekitar negeri ini bermula semalam sehingga pukul 8 pagi tadi.

"Mengikut pecahan, individu yang ditangkap terdiri daripada 49 orang Melayu, India (44), India Muslim (8) dan seorang Cina,"katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, polis telah menahan 99 orang hasil penangkapan 16 lagi individu susulan rusuhan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Mazlan mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau pada Isnin lalu.

"Dari sudut siasatan, saya mengesahkan rakaman percakapan dia (Ganabatirau) telah diambil.

"Kita akan lengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan gangguan,"ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihak polis akan mengambil keterangan  Muhammad Adib Mohd. Kassim, beliau menjelaskan pihaknya mengutamakan kesihatan anggota bomba itu terlebih dahulu sebelum sebarang keterangannya diambil.

"Kita melihat dari sudut rawatan dan kesihatan dia dahulu. Kita tidak dapat sebarang arahan daripada pihak hospital, biarlah dia habiskan rawatan dahulu,"katanya. - K! ONLINE