Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Baharuddin Ahmad berkata, rundingan tersebut akan melibatkan ketegasan parti berkenaan untuk menambah empat lagi kerusi DUN untuk PPBM berbanding enam kerusi DUN yang diumumkan sebelum ini.

“Kami mahukan penjelasan daripada pucuk pimpinan yang melepaskan empat kerusi DUN iaitu Paroi, Ampangan, Labu dan Linggi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang sememangnya tidak mendapat sokongan rakyat setempat.

“Sebelum ini, kami telah mendekati masyarakat setempat di kawasan berkenaan dan berdasarkan maklum balas yang diterima, penduduk di situ menolak calon PKR dan PAN sekali gus akan menyokong calon PPBM untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan Badan Pimpinan PPBM negeri, Baharudin Abu Bakar dan Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd. Shahrul Anuar Abu Samah.

Kosmo! pada 29 Januari lalu melaporkan, Konvensyen PH Negeri Sembilan di sini bertukar kecoh apabila ahli-ahli PPBM negeri ini tidak berpuas hati berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Ketua Setiausaha pakatan pembangkang, Datuk Saifuddin Abdullah dalam konvensyen itu, PPBM diberikan enam kerusi DUN untuk ditandingi iaitu Palong, Seri Menanti, Chembong, Gemencheh, Pertang dan Bagan Pinang.

Sementara PKR diberikan 12 kerusi, PAN (tujuh kerusi) manakala DAP kekal dengan 11 kerusi yang dimenanginya dalam PRU-13. - K! ONLINE