Mangsa, Muhammad Zahari Isa, 38, berkata, ketika umat Islam menghitung waktu untuk berbuka kira-kira pukul 5.45 petang semalam, mereka sekeluarga berduka kerana tinggal sehelai sepinggang.

“Kebakaran itu tidak sempat dipadamkan walaupun dibantu orang ramai  kerana api cepat  merebak membakar keseluruhan rumah papannya.

“Kami sekeluarga ada dirumah ketika kejadian tetapi tiba-tiba ternampak api sedang membakar dinding dapur sebelum merebak dengan cepat. Kami tidak tahu hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana selepas rumah ini terbakar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Muhammad Zahari berkata, kesemua barangan tidak sempat diselamatkan termasuklah sebuah kereta Proton Wira.

“Bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa ahli keluarga kerana semuanya dapat terselamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kebakaran itu kira-kira jam 5.58 petang.

Katanya, seramai 11 anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd. Zawawi Yusoff bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Disebabkan lokasi kejadian jauh dengan balai bomba ia mengambil masa perjalanan dan sebaik tiba pada pukul 6.37 petang, api masih marak membakar rumah terbabit.

“Anggota berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah penduduk lain dalam masa 15 minit dan  punca kebakaran masih disiasat,” katanya. K! ONLINE.