Situasi itu menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan orang ramai sehingga menyebabkan mereka berkumpul di hadapan rumah tersebut yang ketika kejadian tiada penghuni.

Kediaman tersebut terletak di hadapan sebuah sekolah rendah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati kediaman itu didiami oleh lelaki itu seorang diri, namun dia tiada di rumah ketika kejadian.

"Pada 24 Julai lalu, lelaki berkenaan telah meminta tolong seorang pemuda tidak dikenali ketika mengambil anaknya pulang dari sekolah untuk memasang bendera Pulau Pinang dan bendera Jalur Gemilang itu di hadapan rumahnya kerana dia tidak berupaya berbuat demikian atas faktor usia dan kesihatan. 

"Dia juga memaklumkan tidak melihat kembali kedudukan bendera tersebut setelah dipasang kerana telah dibawa oleh anaknya ke Ipoh, Perak keesokan harinya dan dia turut dimasukkan ke sebuah hospital di sana kerana sakit jantung," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan pihak polis di lokasi kejadian mendapati tiada penghuni di rumah tersebut dari tempoh pemasangan bendera itu dilakukan sehingga aduan berkenaan dibuat hari ini.

"Kemungkinan perbuatan tersebut tidak disengajakan. 

"Walau bagaimanapun pihak polis masih mengesan pemuda yang membantu tuan rumah itu memasang bendera tersebut bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan kecil.

Terdahulu, tular di laman sosial hari ini apabila orang ramai mengesan bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik pada pagar sebuah rumah di Teluk Ayer Tawar. - K! ONLINE