Pemergian Ramadan yang penuh keberkatan pastinya ditangisi oleh mereka yang benar-benar memahami pengertian dan pahala yang dijanjikan dalam bulan barakah tersebut.

Namun begitu, sejauh manakah kita sebagai umat Islam betul-betul memanfaatkan setiap detik waktu yang ada hanya untuk mengabdikan diri kepada Yang Maha Kuasa pada bulan mulia ini?

Biarpun ramai yang mengerjakan ibadah puasa dengan penuh ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tanpa melakukan perkara yang melalaikan, hakikatnya masih banyak yang leka dengan kealpaan dan godaan dunia yang sementara.

Pemerhatian penulis mendapati terdapat ramai orang Islam yang mengaku berpuasa pada hari ini, tetapi masih mengadu domba dan menyebarkan berita tidak sahih tidak kira siang atau malam, sama seperti bulan-bulan lain.

Sepatutnya, berhentilah seketika sekurang-kurangnya bagi menghormati bulan Ramadan yang dipenuhi dengan segala keberkatan dari segenap aspek kehidupan manusia.

Ketika orang lain mengejar lailatulqadar, mereka pula sibuk bermain api politik dalam grup Whats­App dan laman sosial lain seperti Facebook de­ngan menghentam dan menaikkan status berunsur kecam­an, kebencian dan perpecahan.

Ada juga rakan-rakan yang memberi kata-kata sinis berhubung tindakan tersebut, tetapi mereka seolah-olah buta mata hati disebabkan terlalu taksub dengan apa yang mereka percaya betul. Kata-kata nasihat tidak dihiraukan, malah rakan yang memberikan nasihat turut terkena tempias dihambur dengan kata-kata yang kurang enak dide­ngar.

Apa yang lebih menyedihkan, masih terdapat golongan yang berumur 50 tahun ke atas yang tidak terdetik di hatinya untuk ke masjid bersama-sama umat Islam lain mengimarahkan bulan Ramadan dengan bersolat tarawih serta bertadarus al-Quran.

Penulis berkata begini kerana ternampak kelibat beberapa orang dalam lingkungan usia tersebut yang begitu galak berbual kosong dan bergelak ke­tawa di kedai kopi yang jaraknya tidak jauh dari sebuah masjid di sebuah kampung di Selangor ketika umat Islam lain berlumba-lumba mengingati kebesaran Allah.

Terfikir juga, tidak adakah rasa malu dalam diri mereka yang sudah lanjut usia itu untuk berkelakuan begitu di mata anak muda kampung. Jika pun tidak mahu ke masjid, janganlah ditunjuk sangat perangai buruk itu di khalayak umum.

Mungkin ada betul kata orang, jika perangai kita tidak berubah tatkala usia menginjak ke 40 tahun, sampai bila-bila pun keinsafan tidak akan muncul di sanubari masing-masing.

Justeru, dalam hal ini, sama-samalah kita bermuhasabah diri untuk terus mengerjakan ibadah de­ngan ikhlas terutamanya pada bulan Ramadan yang diberikan ganjaran tidak seperti bulan-bulan lain termasuk mencari keberkatan lailatulqadar yang dijanjikan Allah lebih baik daripada 1,000 bulan.

Alangkah ruginya jika kita melepaskan peluang keemasan yang hanya ada ketika Ramadan. Kita tidak tahu adakah masih diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Fikir-fikirkanlah.