Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, wanita berusia 69 tahun itu pada awalnya menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Yong'.

"Suspek memaklumkan, mangsa sedang disiasat berkaitan jenayah pengubahan wang haram dan perjudian.

"Mangsa diminta memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan suspek dengan alasan disiasat oleh pihak Bank Negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir menambah, suspek turut menyambung talian telefon kepada dua lagi individu yang menyamar sebagai ‘Koperal Mazlan’ dan ‘Inspektor Moktar’ untuk meyakinkan mangsa.

Ujar beliau lagi, suspek turut berjanji untuk mengembalikan wang mangsa apabila siasatan kes tersebut telah diselesaikan.

"Mangsa membuat beberapa transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun berlainan sebelum menceritakan perkara itu kepada anaknya.

"Wanita itu menyedari ditipu selepas dimaklumkan anaknya dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh," katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE