Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 25 tahun mendakwa melakukan transaksi itu selepas diarahkan berbuat demikian oleh seorang lelaki kononnya pegawai dari Bukit Aman.

Katanya, mangsa yang dihubungi pada pagi semalam, ditakutkan dengan dakwaan telah membuat pengeluaran wang sebanyak RM1.2 juta daripada sebuah bank selain dikaitkan dalam kes penggubahan wang haram dan dadah.

"Mangsa diminta membuat transaksi pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan 'pegawai polis' itu supaya mereka boleh membuat semakan jika wang itu adalah wang haram atau tidak.

Mangsa menuruti arahan yang diberikan namun mula berasa curiga apabila suspek meminta dia untuk membuat transaksi lain kononnya untuk membatalkan waran tangkap," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Wazir menambah, mangsa tidak mengendahkan arahan tersebut dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama