Kebakaran tersebut berlaku pada hari terakhir pameran tersebut dijalankan yang bermula pada Jumaat lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 1.26 petang.

“Sebanyak lima jentera dan 30 anggota dikejarkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa serta Hang Tuah dengan diketuai Komander Operasi, Mohd. Hafizan Hassan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati berlakunya kebakaran dan asap tebal keluar dari bangunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan satu hari ini.

Beliau menambah, kebakaran tersebut melibatkan barangan antaranya buku, kerusi dan meja yang disimpan di ruangan tersebut.

“Dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada kawasan tersebut telah terbakar.

“Api telah berjaya dikawal pada pukul 1.52 petang dan padam sepenuhnya pada pukul 1.59 petang,” ujarnya. 

Menurutnya lagi, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, tular beberapa video dalam laman media sosial Facebook hari ini yang menunjukkan pengunjung MATTA Fair berkumpul di bahagian luar bangunan PWTC dan kelihatan asap keluar dari satu bahagian di bangunan berkenaan. - K! ONLINE