Pendaftar Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, permohonan Rafizi itu diluluskan pada 20 Julai lepas.

"RoS mengesahkan bahawa kelulusan pengecualian hilang kelayakan yang terpakai kepada pemegang jawatan, penasihat dan pekerja pertubuhan berdaftar bagi Rafizi adalah berdasarkan Seksyen 9A(4) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)," kata Masyati dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rafizi membuat permohonan demikian berikutan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat pada pemilihan parti.

Beliau bakal menentang penyandang jawatan berkenaan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Masyati menegaskan bahawa tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu dalam memohon pengecualian hilang kelayakan dalam memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia. - Bernama