Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang itu pernah membuat permohonan kewarganegaraan pada tahun 2013 namun tidak diluluskan sebelum dia dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lawyers For Liberty untuk memohon sekali lagi pada tahun lalu.

Jelasnya, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah meluluskan permohonannya pada 12 Mac lalu.

“Selama ini, saya tidak boleh membuat akaun bank, memohon lesen kenderaan malah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan di klinik swasta kerana tidak boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan ekoran tiada sebarang pengenalan diri.

“Selepas mendapat status kewarganegaraan ini, hidup saya pasti berubah. Perkara pertama selepas ini, saya mahu membuat kad Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memudahkan pergerakan ulang-alik ke Universiti Tun Abdul Razak(Unirazak),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, ketiadaan dokumen kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan Roisah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ibu Roisah merupakan warga Filipina manakala identiti bapanya tidak diketahui dan dia dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.

Roisah kini merupakan pelajar semester ketiga jurusan perakaunan di Unirazak dan merupakan anak angkat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan tanpa status kewarganegaraan, Roisah berkata, sebelum ini, dia pernah membuat permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) namun ditolak disebabkan masalah tersebut.

“Sewaktu masih bersekolah, keluarga angkat saya perlu membayar levi sebanyak RM240 setiap tahun kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan masuk ke sekolah sebagai warganegara asing.

“Diharap dengan memperoleh status kewarganegaraan ini dapat membantu memudahkan saya selepas ini terutamanya dalam aspek pelajaran dan masa depan,” katanya.

Sementara itu, ibu angkatnya, Zuraida berkata, beliau berharap status kerakyatan yang diperoleh Roisah dapat memberi kelebihan kepadanya untuk memasuki universiti awam selepas ini.

“Sebagai penjaga, saya tahu potensinya dalam bidang pelajaran kerana dia mempunyai keputusan SPM dan STPM yang cemerlang namun, dinafikan hak ekoran masalah yang dialaminya sejak bertahun lamanya.

“Diharap dengan pemilikan status kewarganegaraan ini mampu menyuntik semangat kepadanya agar lebih maju pada masa depan,” katanya. - K! ONLINE