Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, projek berkenaan untuk memberi keselesaan dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli di kawasan pedalaman.

Katanya, pelaksanaan projek itu akan diselenggarakan secara berperingkat oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di lebih 10 pos Orang Asli.

"Kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menyalurkan kewangan untuk pembangunan bersepadu di kawasan kampung Orang Asli.

"Kita harap pembinaan rumah ini akan memberi kemudahan kepada penduduk supaya tinggal lebih selesa bersama keluarga masing-masing dan mereka boleh menumpukan untuk mencari pendapatan keluarga," katanya.

Ab. Aziz berkata kepada pemberita selepas meninjau projek rumah PPRT sebanyak 10 unit di Pos Gob di sini semalam.
Tambah Ab. Aziz, projek rumah itu sedang dalam pembinaan dan sudah 90 peratus siap dan setiap unit rumah PPRT yang dilaksanakan itu bernilai RM56,000.

"Kita berharap masyarakat Orang Asli bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa membantu serta memberi kemudahan kepada rakyat di pedalaman," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli di Pos Gob, Jasin Jepli, 40, yang bakal menerima bantuan rumah itu sudah tidak sabar mahu mendiami rumah berkenaan.

Katanya, sebelum ini mereka sudah lama tinggal di rumah tradisional yang dibuat daripada sumber hutan.

"Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang membantu membina rumah batu kepada kami. Kami dijangka dapat mendiami rumah baru ini sebelum pertengahan tahun ini," katanya.