Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kos tersebut meliputi makanan, penyelenggaraan dan juga penghantaran pulang tahanan yang diusir ke negara asal mereka.

“Daripada jumlah tersebut, pihak imigresen telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta setahun bagi membolehkan tahanan diberikan sajian makanan yang berkualiti mengikut diet seimbang yang telah disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tahanan diberi makan sebanyak empat kali sehari dengan diet yang terdiri daripada tiga ekor ikan dan potongan ayam, sayuran berkhasiat serta air minuman yang ditapis oleh mesin penapis air bagi memastikan bekalan air yang bersih,” katanya pada sidang akhbar Lawatan Ketua Pengarah Imigresen bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) ke Depot Imigresen Bukit Jalil di sini hari ini.

Khairul Dzaimee menambah, kualiti makanan tahanan diperiksa setiap masa bagi memastikan makanan dalam keadaan baik dan sampel makanan harian akan dilabel serta disimpan selama tiga hari untuk tujuan pemantauan.

“Jika makanan yang diberi teruk, sudah tentu ada kes keracunan tetapi lihat tiada kes keracunan berlaku dan ini menunjukkan yang makanan disediakan mencapai kualiti yang ditetapkan.

“Saya menafikan sekerasnya dakwaan yang berkata kita memberikan nasi basi dan makanan hangus terhadap tahanan tetapi sebaliknya makanan disediakan mengikut kontrak pembekalan makanan seperti yang ditetapkan oleh KKM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkenaan dakwaan satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Filipina bahawa tahanan warganegaranya diberikan layan buruk seperti diletakkan dalam sel yang sempit dan tidur di lantai, dijerit dan dihina oleh pegawai bertugas serta kanak-kanak yang ditahan turut didera secara verbal.

“Berhubung dakwaan bahawa tahanan diletakkan di dalam sel yang padat dan tidur di atas lantai adalah tidak benar kerana bagi tahanan wanita, mereka ditempatkan di dalam sel yang mengikut kapasiti ditetapkan dan jika ada anak, kita sediakan katil, tilam dan selimut.

“Kita turut menyediakan makanan berkualiti yang menepati diet seperi yang disyorkan oleh pihak KKM antaranya ikan, potongan ayam, sayuran yang berkhasiat serta air yang ditapis untuk bekalan air minum yang bersih,” ujarnya. - K! ONLINE