Beberapa hari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mendakwa prototaip kereta terbang sudah pun siap dan demonstrasi dijangka dibuat tahun ini.

Menurutnya, prototaip kereta terbang sudah ada dan pembuatan dianggarkan sekitar AS$300,000 (RM1.23 juta).

Bahkan, katanya, kereta terbang yang dibangunkan itu mampu terbang dengan selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah. Malah, beliau sendiri akan cuba naik kenderaan berkenaan.

Ironi, kereta terbang yang bakal direalisasikan kerajaan tahun ini hanya untuk kegunaan industri pengangkutan dan bukan untuk dijual kepada orang awam.

Penulis tiada halangan dengan kewujudan kereta terbang di Malaysia. Hal ini kerana ia mampu mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

Bercakap pasal perkembangan teknologi pada hari ini, Malaysia seharusnya melibatkan diri dalam apa jua perkembangan yang turut dilaksanakan negara maju.

Pada masa sama, isu kesesakan lalu lintas ini memang dihadapi satu dunia. Negara maju turut melaksanakan alternatif serupa. Maka, dengan kewujudan kereta terbang ini secara tidak langsung kita dapat mengurangkan ke­sesakan lalu lintas di jalan raya.

Memang tidak semua golongan akan mampu menaiki pengangkutan kereta terbang itu, namun ‘golongan tertentu’ itulah nanti yang berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas kelak.

Cumanya, besar harapan penulis agar pihak kerajaan juga dapat memberi tumpuan dan keseimbangan pada perkara-perkara lain. Gusar ada hal terpenting dilupakan dalam keriuhan memberi fokus pada kereta terbang.

Sebagai contoh, penulis berharap pihak kerajaan dapat memberi fokus pada golongan usahawan bumiputera yang dikatakan hanya menyumbang 8 peratus iaitu kira-kira RM104 juta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada setiap tahun.

Jumlah berkenaan disifatkan terlalu rendah berbanding nilai keseluruhan KDNK iaitu RM1.3 trilion walaupun banyak program dan langkah pembangunan usahawan dilakukan untuk kaum bumiputera, khasnya golongan muda.

Kenapa perkara itu masih terjadi? Barangkali golongan usahawan muda ini patut diberi kemudahan pinjaman bank atau apa-apa kemudahan lain lagi agar peratusan mereka dalam KDNK dapat dipertingkatkan.

Pada masa sama, industri kecil dan sederhana (IKS) juga harus diperluas dan bantuan kerajaan diperlukan bagi membantu penggiat industri meningkatkan kualiti dan kemahiran dan teknologi dalam bidang masing-masing.

IKS perlu menjadi sektor sokongan kepada pertumbuhan industri utama negara kerana negara bukan lagi sekadar negara pengguna.

Pentingnya pihak kerajaan mempunyai eagle view agar keseimbangan dapat dicapai sekali gus tidak alpa pada isu-isu semasa yang harus dititikberatkan.