pelaburan
Apabila membuat keputusan pelaburan, seseorang itu sepatutnya memahami terlebih dulu jenis instrumen yang dipilih. – Gambar hiasan

Justeru ramai yang melabur dengan mengharapkan pula­ngan tinggi, tetapi akhirnya menanggung kerugian kerana tidak memahami risiko yang berkaitan.

Jadi, apabila membuat keputusan untuk membuat pelaburan, seseorang itu sepatutnya memahami terlebih dulu jenis instrumen yang dipilih, risiko yang perlu ditanggung dan kaitannya dengan pula­ngan yang diharapkan.

Kebiasaannya, jika anda mengharapkan pulangan tinggi, anda juga sepatutnya sanggup menanggung risiko kehilangan mo­dal atau dalam kata lain, menanggung kerugian.

Sebagai contoh, pelaburan dalam pasaran saham merupakan pelaburan berisiko tinggi, namun tidak mustahil anda berpeluang memperoleh pulangan tinggi jika bijak menguruskannya.

Pasaran saham be­ri­siko tinggi kerana ia membabitkan pembelian unit saham sesebuah syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia, yang mana harga seunit saham boleh naik atau turun pada bila-bila masa sepanjang tempoh dagangan.

Jika bernasib baik, harga saham mungkin meningkat dan anda meraih keuntungan modal. Namun jika tiba-tiba berlaku perkara luar dugaan, contohnya krisis kewangan, harga seunit saham boleh menjunam sekelip mata dan anda mungkin tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengelak kerugian.

Sekiranya pasaran saham kelihatan menakutkan, anda boleh memilih melabur dalam unit amanah yang merupakan pelaburan berisiko sederhana.

Apabila memilih pelaburan beri­siko sederhana, anda juga sepatutnya mengharapkan pulangan sederhana.

Unit amanah berisiko sederhana kerana anda masih berdepan kemungkinan kehilangan modal memandangkan harga seunitnya berubah setiap hari, kecuali jika anda melabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan unit amanah harga tetap lain yang ditawarkan oleh ASNB. Walaupun begitu, risikonya tidak setinggi pasaran saham.

Unit amanah memberi pulangan tahunan dalam bentuk agihan pendapatan dan jika pulangan ini adalah lebih tinggi berbanding deposit tetap dan kadar ­inflasi semasa, ia sudah cukup untuk melin­dungi nilai wang anda.

Sekiranya tidak mahu pe­ning kepala, pilih sahaja pelaburan dalam deposit tetap kerana ia merupakan pelaburan berisiko rendah, dengan dividen tahunan sekitar 3-4 peratus.

Ada pelbagai instrumen pelaburan yang boleh dipilih untuk melabur, namun pilihlah berdasarkan tahap risiko yang mampu anda tanggung dan kedudukan kewangan semasa anda.

Sekiranya kedudukan kewa­ngan sudah kukuh dan anda mempunyai lebihan tunai, anda boleh cuba untuk melabur dalam pasaran saham.

Jika tidak, melaburlah dalam unit amanah atau deposit tetap untuk melin­dungi wang anda dari inflasi dan supaya anda mempu­nyai tabungan waktu kesusahan.

Apa yang penting, jangan biarkan wang anda dalam almari atau akaun simpanan biasa kerana inflasi akan mengecilkan wang anda, menyebabkan anda kehila­ngan kuasa beli.