Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Risda akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi merangka program berkenaan.

"Mereka yang salah guna ketum ini akan ditahan dan mereka akan dilibatkan dalam program motivasi untuk menyedarkan mereka mengenai penyalahgunaan ketum," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai ekonomi pertanian luar bandar kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar berkata, Risda masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan untuk meluluskan eksport daun ketum ke luar negara bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan.

Menurutnya, pakar perubatan di luar negara sedang membuat kajian berhubung penggunaan daun ketum sebagai bahan mengubati ketagihan dadah.

Sebelum ini, Risda mencadangkan supaya pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan untuk dieksport.

Pada Ogos 2016, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melarang penanaman pokok ketum secara komersial di negara ini kerana daun ketum lebih banyak memberi kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.  

Dalam pada itu, Zahidi menggesa masyarakat yang mempunyai tanah terbiar untuk menjalankan aktiviti penanaman pokok jenis 'Sacha Inchi' yang mampu memberikan pendapatan sampingan.

Katanya, pokok berkenaan yang mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 dan berfungsi untuk memulihkan tenaga serta kesihatan badan mempunyai pasaran yang baik di peringkat antarabangsa. - Bernama