Pada pukul 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.1420/1470 berbanding dolar AS daripada 4.1435/1465 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa masing-masing bagi cuti ganti kelepasan am sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad serta Awal Muharam iaitu tahun baharu Islam.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata, ketika ringgit kekal suram susulan peningkatan ketegangan perdagangan global, mata wang itu amat terdedah kepada kenaikan kadar faedah AS memandangkan hasil bon AS yang bertambah menjadikan ringgit kurang menarik bagi pelabur asing.

"Ekonomi AS yang kukuh menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengetatkan dasar monetarinya yang menjejaskan ringgit memandangkan Bank Negara Malaysia mengambil pendekatan tidak menaikkan atau menurunkan kadar faedah bagi dasar monetarinya," katanya kepada Bernama.

Bank pusat Malaysia juga mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus semasa mesyuarat dasarnya baru-baru ini.

"Secara amnya, risiko pasaran Asia adalah dagangan dalam persekitaran negatif dan ini tidak banyak membantu, menjadikan mata wang ASEAN termasuk ringgit dalam keadaan bertahan," katanya.

Mengikut laporan, Fed dijangkakan menaikkan dua kali lagi kadar faedah bagi baki tempoh 2018.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7161/7210 daripada 3.7406/7444 pada Jumaat minggu lepas dan tinggi berbanding euro kepada 4.8018/8093 daripada 4.8210/8257.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0104/0151 daripada 3.0139/0163 pada Jumaat lepas namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.3979/3060 daripada 5.3725/3768. - Bernama