Pada pukul 9.09 pagi, unit tempatan disebut pada 3.9750/9800 berbanding dolar AS daripada 3.9770/9800 waktu ditutup pada Jumaat.

Peniaga berkata, pelabur mengambil sikap berhati-hati terhadap dolar AS dan ketidaktentuan menjelang sidang kemuncak AS-Korea Utara minggu depan dan situasi ini akan  terus mengehadkan peningkatan dolar AS, dengan pelabur mengabaikan penyusutan sektor pembuatan Malaysia.

"Menurut kajian Nikkei, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia susut kepada 47.6 pada Mei daripada 48.6 yang direkodkan pada April," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Ringgit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6400/6474 daripada 4.6551/6594 pada Jumaat minggu lepas, selain tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9706/9746 daripada 2.9728/9761.

Bagaimanapun, ringgit stabil berbanding yen Jepun kepada 3.6235/6284 daripada 3.6393/6430 pada Jumaat minggu lepas tetapi rendah berbanding pound Britain kepada 5.3114/3201 daripada 5.2902/2946. - Bernama