Pada pukul 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 4.0400/0460 berbanding dolar AS daripada 4.0380/0420 semalam.

Peniaga berkata, dolar naik susulan ketegangan meningkat menjelang tarikh akhir pada 6 Julai bagi Washington untuk mengenakan tarif sebanyak AS$34 bilion ke atas eksport China.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, di peringkat tempatan, ringgit dilihat sebagai pasaran yang berorientasikan dalam negara tanpa aliran masuk asing.

"Mata wang dan pasaran bon tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil.

"Bagaimanapun, harga minyak akan terus menyokong ringgit manakala sentimen pasaran sedang pesat membangun Asia akan terus menentukan tindakan harga," katanya.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang kecuali euro.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9493/9541 daripada 2.9526/9558 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.6400/6460 daripada 3.6424/6474. 

Ringgit naik berbanding pound British kepada 5.3045/3140 daripada 5.3100/3156, bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.7005/7091 daripada 4.6994/7057. - Bernama