Beliau bersama kakitangannya telah meluangkan masa seketika untuk beramah mesra dengan 34 jemaah yang akan mengerjakan umrah selama 14 hari melalui Pakej Umrah Syukur di bawah kendalian syarikat berkenaan.

Mutawif kami, Ustaz Muhammad Abu Bakar yang lebih mesra dipanggil Ustaz Burn turut mengiringi jemaah selain memimpin doa di KLIA bagi memohon keberkatan sebelum berangkat menjadi tetamu Allah.

Saya yang bertuah menjadi salah seorang jemaah dalam kumpulan tersebut, hanya mampu tersenyum mendengar pesanan Hashim kerana pasti-nya perjalanan kali ini bukan untuk berlibur dan bersantai se-perti mengikuti pengembangan backpackers ke Eropah sebelum ini.

Pastinya pengalaman mengerjakan umrah buat kali pertama dalam hidup saya, cukup unik malah dapat mematangkan pemikiran, pengetahuan serta perjalanan hidup sebagai hamba-Nya.

Meskipun pakej tersebut mengambil masa selama 12 hari, tetapi pengisiannya cukup padat dan ia menjanjikan pelbagai cerita menarik selain berdepan dengan cabaran yang menguji kesabaran mental dan fizikal.

Betul kata orang, tahap kesabaran yang tinggi perlu ada sebaik sahaja bergelar jemaah umrah kerana kita benar-benar diuji-Nya bagi melihat niat ikhlas masing-masing untuk meredakan diri atas segala kepayahan dan kesukaran yang dihadapi.

Bagi saya, segala kemudahan yang disediakan pihak Harmony Excellence adalah cukup memuaskan dan mutawif kami benar-benar mengambil berat hal ehwal jemaahnya dalam pelbagai aspek termasuk hal kesihatan dalaman wanita.

Tanpa segan silu, menurut Ustaz Burn, dia perlu mengambil tahu selok-belok mengenai aspek berkaitan haid khususnya untuk memudahkan jemaah wanita berniat dan mematuhi syarat-syarat wajib sebelum mengerjakan umrah.

Kami juga sentiasa diingatkan untuk makan dan berehat secukupnya bagi memastikan tahap kesihatan yang baik untuk membolehkan kami menjalani ibadah serta program ziarah.

Bagi saya, khasiat air zamzam yang diminum sepanjang hari telah memberi nilai tambah kepada kesihatan dalaman diri malah ia juga dijadikan sebagai ‘serum’ istimewa untuk kulit wajah yang tidak disapu dengan sebarang bahan produk kecantikan.

Terasa diri sungguh cergas menjalani aktiviti harian meskipun diri tidak cukup tidur dan rehat.

Berdasarkan pengalaman tersebut, saya melihat aspek penginapan perlu diambil berat sebelum membuat tempahan pakej umrah pada masa depan, mereka yang mahu membawa ibu bapa yang uzur dan berkerusi roda sepatutnya memilih hotel yang terletak dalam lingkungan 30 hingga 50 meter sahaja daripada Masjidil Haram.

Ulang alik sebanyak lima kali sehari dengan jarak lokasi hotel kira-kira 700 atau 800 meter dari Masjidil Haram bakal mengundang kesulitan bukan sahaja kepada jemaah warga emas tetapi juga bagi mereka yang masih muda.

Keluasan bilik hotel juga perlu diambil kira kerana konsep ber-kongsi tiga hingga empat orang bakal membuatkan suasana bilik nampak sesak dan tidak memberi ruang untuk berehat.

Syarikat pengendali pakej umrah perlu memberi penerangan yang tepat mengenai pelbagai kemudahan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Percayalah, bukan mudah bagi jemaah untuk membayar antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang bagi melanggan pakej umrah yang dipilih.

Pelbagai kesulitan dan cerita suka duka mereka untuk menabung sejumlah wang tersebut apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Pengalaman unik menjadi tetamu Allah kali ini pastinya akan menggamit rindu buat sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci termasuk saya dan ia akan sentiasa mengetuk pintu hati untuk berniat berkunjung lagi ke sana.

Semoga kita dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan dikurnia kesihatan terbaik bagi merealisasikan niat untuk kembali menjadi tetamu-Nya bukan sebagai jemaah umrah tetapi sebagai jemaah Haji pada masa depan.