Saya terkejut mendengar jawapan anak muda itu kerana selalunya pada tarikh berkenaan iaitu pada minggu pertama bulan Ramadan, tempahan berbuka puasa di hotel masih banyak lagi kekosongan.

Lebih menarik pakej harga bufet Ramadan yang ditawarkan kira-kira RM178 seorang (dewasa), RM108 (warga emas) dan RM98 untuk kanak-kanak itu habis dilanggan oleh pelanggan.

Timbul juga persoalaan di sini, sekiranya masyarakat mengeluh dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi perbelanjaan untuk menikmati lebih 100 menu daripada hidangan pembuka selera hinggalah kepada pemanis mulut untuk berbuka puasa di hotel mewah itu masih tinggi permintaannya.

Mengambil kira kesulitan pelanggan untuk ber­belanja mahal, pihak hotel selalunya akan menawarkan promosi ‘early bird’ yang mana syarikat membuat tawaran pada harga diskaun dalam waktu terhad.

Meskipun memperoleh harga diskaun, nilai harga tersebut masih lagi mahal bagi golongan berpendapatan sederhana dan juga rendah. Pendapat mereka ia merupakan satu perkara yang membazir kerana jumlah yang dimakan ketika berbuka puasa tidak seba­nyak mana yang dimakan pada waktu siang hari.

Berbuka puasa di hotel adalah trend semasa tatkala tibanya bulan Ramadan dan terpulang kepada kita untuk menguruskan bajet masing-masing berbelanja menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.

Ramai yang berpendapat, bulan puasa jika tidak dikawal kos perbelanjaan membeli juadah berbuka puasa akan membuatkan bajet bulanan desfisit sehingga memberi impak kepada perbelanjaan untuk persediaan hari raya pula.

Namun, itu semua bergantung kepada kebijaksa­naan kita menguruskan dompet masing-masing berkonsepkan ukur baju di badan sendiri.

Alternatif terbaik untuk mengurangkan kos per­belanjaan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini, adalah dengan berkunjung ke masjid-masjid utama di pusat bandar ini dan anda akan menikmati suasana berbuka puasa yang sungguh unik.

Selain mengimarahkan rumah Allah, kita juga tidak akan ketinggalan untuk solat berjemaah bermula dari waktu Maghrib hingga selesai solat sunat tarawih.

Mungkin tiada pilihan hidangan bufet lauk pauk pelbagai jenis termasuk sambal dan ulam-ulaman, tiada hidangan mi goreng, roti john, kuih karipap, seri muka dan popia, air buah-buahan dan pemanis mulut tetapi apabila makan berjemaah berbuka puasa bersama-sama masyarakat luar, hidangan yang biasa-biasa itu sudah cukup mengenyangkan.

Di sana kita belajar bersyukur dengan rezeki yang dihidangkan dan lebih menarik setiap hari ada sahaja jemaah lain yang datang bersedekah membawa kuih muih, nasi bungkus untuk dikongsi bersama.

Rezeki bulan puasa ini cukup murah, di mana sahaja di masjid seluruh negara menyediakan majlis berbuka puasa dan bersahur, kunjungilah rumah Allah ini untuk meningkatkan lagi amal ibadat selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan umat Islam.

Jangan mengeluh atau berasa bimbang mengenai kos barangan yang mahal di pasar untuk dibeli bagi menyiapkan juadah berbuka puasa dan bersahur, tetapi perkara utama yang perlu dirisaukan ialah aktiviti amal ibadat kita selama ini.