“Ibadah itu macam rezeki makan dan setiap bangsa secara umumnya Allah anugerahkan ibadah tertentu yang paling selesa atau berkelebihan untuk dilakukan bagi diri mereka. Orang Melayu kita memang ibadah yang selesa ialah puasa dan kenduri (memberi makan). Orang Arab pula mereka tidak larat puasa, mereka memang banyak membaca al-Quran. Allah rezekikan mereka mudah membaca al-Quran.

“Orang Pakistan dan India pula ibadah yang hebat mereka ialah sembahyang, hal sembahyang memang tidak boleh lawan mereka. Cuba kita tengok mereka sembahyang.”

Bagi penulis, ia satu perkongsian yang cukup menarik dan membuka minda dan ia ternyata sesuatu yang benar pada pengamatan penulis.

Mengimbas kembali suasana ketika menunaikan umrah beberapa tahun lalu, golongan dari Asia Selatan seperti Pakistan, India dan Bangladesh, mereka sering ‘berkampung’ di kawasan masjid. Bagaikan berpesta ibadah solat, mereka seolah-olah berasa penuh nikmat dapat berkumpul di masjid. Jemaah Tabligh yang banyak menumpukan masa di masjid juga hakikatnya diasaskan dari India pada tahun 1926.

Di surau pejabat tempat penulis bekerja juga sering dikunjungi golongan ini. Ketika kami begitu seronok menikmati juadah berbuka puasa selepas seharian berpuasa, lelaki-lelaki Pakistan atau Bangladesh ini sudah duduk berbaris di saf menunggu ketibaan kami bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah. Usai solat pula, rata-rata mereka akan menunaikan solat sunat. Mereka ibarat tidak begitu mengambil berat soal ‘perut’.

Orang Melayu atau Nusantara secara umumnya memang amat menikmati ibadah puasa. Mungkin kerana itu juga orang kita amat memandang besarnya perayaan Aidilfitri selepas berpuasa sebulan sedangkan di negara-negara Asia Selatan dan Afrika misal­nya, hari raya Aidiladha itulah hari raya yang akbar (lebih besar).

Rata-rata kita memang selesa menunaikan ibadah puasa. Walau di mana-mana pun kita berada waima ketika di perantauan atau saat tiada yang memandang, biasanya ibadah puasa adalah kewajipan yang taat dipelihara walau hakikatnya sesetengah kita solat lima waktu pun ‘ke laut’ entah ke mana.

Apabila berbicara tentang mudah dan keseronokan orang Melayu dalam berpuasa, penulis fikir wajar jika kita berasa hairan dengan kewujudan golongan Geng Plastik Hitam yang digembar-gemburkan setiap kali tiba bulan Ramadan. Di negara ini sepatutnya tidak wajar wujud umat Islam yang enggan berpuasa.

Geng Plastik Hitam merujuk kepada golongan dewasa yang gemar ponteng atau culas berpuasa dan membeli makanan menggunakan plastik hitam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Serbuan dan amaran telah dilaungkan oleh beberapa jabatan-jabatan agama Islam di negeri-negeri baru-baru ini termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ke atas golongan ini. Sebagai contoh sebuah restoran di Ipoh telah diserbu berhubung kesalahan ini.

Nasihat penulis, geng ini sepatutnya berasa aib ke­rana kanak-kanak di negara ini pun gigih menunaikan ibadah puasa walau sampai lembik badan. Mereka juga patut berasa terhina kerana tidak memiliki ke­seronokan berpuasa atau sengaja menjadi pengingkar nikmat ibadah tersebut yang boleh dikatakan paling selesa untuk ditunaikan umat Islam di negara ini.