Menurut seorang wanita warga emas, Tipah Jantan, 63, dia mengayuh basikalnya kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Pulau ke perkampungan itu semata-mata untuk memancing ikan keli di sekitar kawasan tali air di situ. 

Menurutnya, dalam kejadian banjir sebelum ini, dia berjaya menangkap lebih sekilo ikan keli untuk dijual kepada pelanggan. 

"Biasanya bila air banjir mula surut, ramai kaki pancing "turun" di kawasan-kawasan tali air atau parit untuk mencari ikan-ikan air tawar yang berkumpul di kawasan ini.

"Mak cik biasanya akan bawa balik kira-kira sekilo ikan keli. Sebenarnya boleh dapat lebih banyak tetapi memandangkan mak cik datang menaiki basikal, jadi sekilo ikan itu sudah cukup," katanya ketika ditemui memancing di kawasan parit berdekatan kebun mangga di Kampung Belimbing Dalam di sini petang tadi.

Ujarnya, aktiviti memancing seorang diri itu sudah menjadi rutin masa lapangnya sejak 40 tahun lalu dan menjadi sumber rezeki sampingan dengan mengambil pesanan ikan segar daripada penduduk kampung. 

Sementara itu, Jamal Abdul Nasir Isnin, 54, pula memberitahu, dia yang menetap di Kampung Lanjut Manis datang ke kampung tersebut untuk mendapatkan ikan haruan yang kebanyakannya terperangkap di kawasan air cetek. 

"Saya jual RM15 sekilo bagi ikan haruan. Selain itu, terdapat juga ikan lampam dan keli dari sungai Durian Tunggal yang melimpah masuk ke kawasan banjir ini," katanya. 

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di perkampungan itu mendapati mangsa-mangsa banjir kebanyakannya telah pulang ke rumah masing-masing dan melakukan kerja-kerja pasca bencana. 

Terdahulu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 402 membabitkan 105 buah keluarga dengan Kampung Belimbing Dalam mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 279 orang. 

Katanya, sehingga pukul 4 petang tadi, sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup menjadikan hanya sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong, Melaka Tengah dan tiga lagi di Balai Raya Bukit Balai, SK Belimbing Dalam dan Balai Raya Sungai Tuang di Alor Gajah. - K! ONLINE