Saya merasai aura dan semangat pengasas syarikat Hanana Group, Norfazlin Abd. Ghafar yang gigih berusaha untuk berjaya dalam membangunkan empayar perniagaannya sejak mula diceburi 12 tahun lalu.

Beliau optimis terhadap perniagaan tersebut kerana pakej yang ditawarkan lengkap untuk memenuhi kehendak pelanggan selain tawaran harga menarik bagi memberi pengalaman terbaik buat pasangan pengantin meraikan hari bahagia mereka.

Menurutnya, faktor unik dan kekuatan empayar perniagaannya terletak kepada beberapa faktor dan antaranya ialah komitmen daripada kakitangannya terhadap tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Kakitangan merupakan aset penting buat syarikat dan saya anggap mereka sebagai ahli keluarga dan adik- beradik. Mereka dianggap tulang belakang dan kekuatan syarikat untuk terus pergi jauh ke depan.

“Jika buat salah, mereka perlu ditegur dan ada kala­nya saya juga akan menghabiskan masa bersama ketika menjamu selera, bersantai dan mengajak mereka pergi bercuti bersama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dewan perkahwinan baharu yang diuruskan syarikat di Persiaran Diplomatik di Putrajaya.

Namun dalam keceriaan beliau melayan kakitangannya yang terdiri daripada anak-anak muda berpe­ngalaman dalam bidang katering, andaman dan solekan, Norfazlin menganggap faktor utama kejayaannya kini ialah restu dan sokongan daripada ibunya yang tidak henti-henti memberi sema­ngat serta berdoa untuknya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang perniagaan.

Menurut beliau, perniagaannya pernah gagal sebelum ini ketika dia berumur awal 20-an ketika menguruskan empat buah restoran makanan berasaskan menu Thailand.

Empayar bisnesnya ketika itu berkembang maju tetapi ekoran masalah pengurusan dan perkara lain, ia musnah.

Namun, tiada istilah putus asa bagi Norfazlin lalu beliau terus mengorak langkah dengan cuba meneroka bidang katering dan menawarkan pakej perkahwinan.

“Buat pertama kalinya saya menyertai pameran perkahwinan dengan niat untuk memulakan hidup dan mempromosikan perniagaan baharu.

“Pada hari pertama tiada pelanggan, saya mula bimbang dan menangis tetapi berkat doa ibu yang sedang mengerjakan ibadah di Mekah, saya mula mendapat tempahan pelanggan.

“Meskipun memiliki jumlah modal yang kecil yang disumbangkan oleh ibu serta bantuan daripada keluarga, saya berjaya meme­nuhi tempahan tersebut dan bermula di situ saya mula menambah modal dan meneruskan perniagaan tersebut sehingga kini.

“Tanpa doa seorang ibu, restu dan sokongan yang diberikan, saya mungkin tidak akan berjaya sehingga kini dan berjanji akan terus membahagiakannya sehingga akhir hayat beliau,” sambil menyeka air mata yang mula mengalir tanpa disedarinya.

Begitulah ajaibnya doa seorang ibu yang menjadi ‘talian hayat’ buat anak yang sedang dalam masalah, ke­susahan dan kesedihan, tiada seorangpun ibu di dunia ini yang mahukan hidup anaknya menderita.

Ibu akan membantu mengikut daya usaha dan keringat mereka untuk menyelesaikan masalah anak-anak.

Sehubungan itu, sayangi, hormati dan sentiasa ceriakan mereka kerana redha Allah datangnya daripada redha ibu dan bapa.

Buat anak-anak yang kehilangan kasih sayang ibu yang telah pergi menemui­Nya sentiasa panjatkan doa agar roh mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.