Perkara itu terdedah hasil serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pukul 11 pagi semalam. 

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, serbuan itu adalah hasil aduan orang ramai terhadap restoran tersebut kerana mengelirukan masyarakat beragama Islam dengan menggantung ayat-ayat al-Quran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka. 

Katanya, hasil semakan mendapati restoran itu merupakan pemilikan secara perkongsian antara dua individu dengan seorang daripadanya beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam. 

"Apa yang meragukan sepanjang pemeriksaan adalah premis itu telah menggantung bungkusan kain kuning yang dipercayai sebagai tangkal dan azimat di sebelah ayat al-Quran. 

"Bekalan bahan mentah seperti daging kambing juga diperolehi daripada pembekal yang tidak memiliki sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah selain menjual makanan daripada pembekal luar yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf pada pembungkusan produknya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau menambah, pemeriksaan lanjut mendapati restoran tersebut bukan pemegang SPHM yang sah. 

Ujarnya, restoran tersebut juga didapati tidak berada di tahap kebersihan yang memuaskan susulan bahan mentah diletakkan di atas lantai yang teruk iaitu pecah dan berlubang. 

"Premis juga tidak menggunakan perangkap minyak seperti mana yang telah disyaratkan oleh pihak berkuasa tempatan kepada restoran-restoran makanan," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menegaskan tindakan telah diambil menerusi Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina. 

Sementara itu, pemilik restoran, T.Krisnasamy, 61, ketika dihubungi Kosmo! akur dengan arahan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap perlanggaran penggunaan ayat-ayat al-Quran di dalam restorannya dan bahan mentah yang disahkan oleh halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Katanya, ini merupakan kali pertama restoran tersebut diserbu JAIS selepas sepuluh tahun mengusahakannya. 

"Saya telah menurunkan semua ayat-ayat berkaitan Al-Quran dan memastikan tahap kebersihan sentiasa dijaga.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan akan menjual perniagaan restoran tersebut kepada orang lain," katanya. -K!ONLINE