Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut kira-kira pukul 9.37 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Sungai Besi dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah kedai di tingkat satu yang musnah 100 peratus selepas dijilat api," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelasnya, api berjaya dikawal pada pukul 10.14 pagi dan padam sepenuhnya 45 minit kemudian.

 "Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih lagi di dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE