Perkara itu disahkan Pegawai Kesihatannya, Dr. Shameer Khan Sulaiman kepada media selepas notis perintah tutup itu tular di media sosial sejak semalam.

Katanya, arahan itu dikeluarkan hasil siasatan beberapa kes keracunan makanan serta hasil pemeriksaan berkala Jabatan Kesihatan.

"Cawangan itu diarah tutup berikutan masalah berkaitan pencemaran dan isu lain yang boleh menyebabkan masalah itu," katanya.

Beliau berkata, pihak restoran memberikan kerjasama baik dan restoran makanan segera itu turut dibenarkan beroperasi semula.

"Pada 11 pagi tadi, Pejabat Kesihatan Daerah melawat restoran itu dan memberi kebenaran untuk beroperasi," katanya.

Dr. Shameer turut berharap semua pemain industri sektor makanan di daerah itu dapat memastikan premis serta makanan dan minuman yang dijual terjamin bersih berikutan Semporna merupakan destinasi pelancongan terkenal.

"Kami amat mementingkan keselamatan dan kualiti makanan yang tinggi apabila melibatkan kesihatan orang ramai," katanya. - Bernama