Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tempoh tahanan reman lelaki berusia lingkungan awal 30-an yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga esok.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi lelaki yang juga pekerja pontun yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

"Tempoh reman pengusaha itu dilanjutkan lagi sehari, manakala pekerjanya sudah dibebaskan dengan jaminan pihak polis.

"Setakat ini, tiada tangkapan baharu dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua lelaki yang merupakan pengusaha pontun dan pekerjanya masing-masing berusia 20-an hingga 30-an direman empat hari selepas ditahan di Kuala Selangor.

Setakat ini, lebih 10 keterangan telah diambil dan polis bekerjasama dengan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE