Perintah reman terhadap lelaki berusia 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Atiqah Abu Hassan selepas membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Kosmo! Online pada 20 Mei lalu melaporkan, suspek direman selama empat hari hingga hari ini dan merupakan individu ketiga ditahan SPRM berhubung kes suapan projek pembekalan tersebut.

Semalam, SPRM menahan reman seorang bekas pegawai kanan di sebuah syarikat swasta bergelar Datuk berusia 56 tahun untuk membantu siasatan kes sama.

Penahanan itu menjadikan jumlah yang ditahan berhubung kes tersebut setakat ini adalah seramai empat orang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat sama.

Menurut sumber, siasatan SPRM mendapati nilai sebenar penyelewengan membabitkan projek pembekalan peralatan kereta perisai itu berjumlah RM135 juta berbanding RM17 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Difahamkan, nilai rasuah tersebut membabitkan dua projek perolehan kereta perisai AV8 Gempita dan kereta perisai AV4 Lipan Bara bernilai RM7.5 bilion yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE