Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, perintah lanjutan reman terhadap kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam. 

"Tempoh reman terhadap kedua-dua suspek itu tamat pada hari ini. 

"Namun, mahkamah membenarkan reman dilanjutkan sehingga 12 September depan untuk polis melengkapkan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lagi motif pembunuhan tersebut. 

Jelas Baharudin, mayat Lim Ah Kee @ Lim Kok Goe, 79, dan isterinya, Tan Siew Mee, 52, telah dituntut oleh adik beradiknya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan mayat pasangan suami isteri itu ditemui di dalam beg pakaian yang dibuang di dalam longkang di dua buah lokasi berasingan dengan jarak empat kilometer antara satu sama lain. 

Mayat Siew Mee, 52, ditemui di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini pada 26 Ogos manakala mayat Ah Kee dijumpai berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, tiga hari kemudian. 

Polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek yang merupakan pengawal keselamatan penyewa bilik rumah pasangan suami isteri itu di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya. - K! ONLINE