Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, difahamkan mangsa yang berusia 17 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tasik Utama dekat sini dengan menunggang motosikal.

Dia bagaimanapun telah terlanggar besi di lebuh raya berkenaan sebelum terjatuh menyebabkan kaki kirinya tertusuk objek tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, panggilan kecemasan diterima daripada pihak Hospital Pantai pada pukul 3.25 pagi dan seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 3.37 pagi dan cuba memotong besi secara perlahan-lahan menggunakan peralatan khas 'power saw' dengan pantauan doktor.

“Besi itu berjaya dikeluarkan dari buku lali mangsa kira-kira 10 minit kemudian dan remaja berusia 17 tahun itu berada di dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini. - K! ONLINE