Mayat mangsa, Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 8.42 malam di dasar sungai kira-kira 10 meter dari tempat dia terjatuh.

Difahamkan, mangsa datang ke sungai berkenaan untuk memancing bersama tiga rakannya sebelum selipar remaja itu terjatuh dan dia tergelincir ketika cuba mengambil selipar tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 2.35 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Menurut rakan mangsa, dia cuba membantu mangsa namun tidak berjaya sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

“Tiba di lokasi, usaha mencari dan menyelamat dijalankan di permukaan air sebelum bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain tiba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Abdul Hazhar, mangsa kemudian berjaya ditemui di celah batu di dasar sungai berkenaan pada 8.42 malam kira-kira 10 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya.

“Mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 9.30 malam.

“Operasi berkenaan melibatkan seramai 18 anggota bomba termasuk PPDA Pulau Pangkor, empat penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 13 anggota polis,” katanya. - K! ONLINE