Pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di daerah ini dipercayai bermain mercun yang masih belum dikenalpasti jenisnya bersama sepupunya pada pukul 5.30 petang.

Difahamkan ia merupakan kes mangsa mercun pertama di Terengganu pada bulan Ramadan ini dan kedua di negara ini selepas melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang cedera tangan kiri akibat bermain mercun bola di Sik, Kedah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, ibu mangsa berusia 40 tahun yang sedang menyiapkan juadah berbuka tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.

"Letupan kuat itu kemudiannya diiringi jeritan oleh anak lelakinya. Dia yang segera keluar dari rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa telah mengalami kecederaan parah pada tangan kanannya.

"Wanita itu yang panik telah membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan ke Hospital Besut di sini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, remaja lelaki yang putus kesemua jari tangan kanannya kemudian telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu tidak lama kemudian bagi rawatan lanjut.

Menurut beliau, kejadian itu telah dimaklumkan pegawai perubatan Hospital Besut di sini pada pukul 7.41 malam dan siasatan masih dijalankan. - K! ONLINE