Dalam kejadian kira-kira pukul 9.37 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Yoyo Aminun, 14, dan merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa ditemui di bawah timbunan sisa kebakaran di bilik mandi rumah pekerja tersebut.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 9.39 pagi.

"Sebaik menerima laporan mengenai kejadian, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bergegas ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

"Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah pekerja setingkat jenis struktur tidak kekal di situ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ling Hii menambah, siasatan awal mendapati semasa kejadian semua penghuni tiada di rumah kerana sedang bekerja di ladang.

Katanya, hanya mangsa seorang yang berada di rumah pekerja tersebut semasa insiden berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Punca kebakaran rumah pekerja tersebut masih lagi dalam proses siasatan," ujarnya. - K! ONLINE