Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.47 pagi itu, mangsa, Ziemam Shah Aristun Shah, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dan mengalami kecederaan parah. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Kia Spectra itu dalam perjalanan dari arah Tambun menghala ke Ipoh.

"Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan penghadang jalan sebelum merempuh sebatang pokok. 

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan dia disahkan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Nordin, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses bedah siasat. 

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE