Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 18 Mei lalu itu masih jelas dalam minda remaja bertubuh kecil ini yang mengakibatkan dia kehilangan empat jari tangan kiri.

Mohammad Iqhbal berkata, ketika itu dia bersama beberapa rakan bermain di padang bersebelahan kawasan perkuburan di kampung datuknya di Kampung Baloh di sini.

"Orang lain masa itu sedang solat tarawih tetapi kami pula leka main mercun.

"Semasa kejadian saya memegang botol yang diisi serbuk belerang dari 20 biji mercun bola yang kami kumpul supaya tidak membazir kerana ia tidak meletup.

"Kami mahu buat nyalaan bunga api dengan meletakkan belerang atas kertas tiba-tiba ada angin menyebabkan api dicucuh atas kertas menyambar botol yang saya pegang di tangan kiri lalu meletup," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

Mohammad Iqhbal merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas berkata, dia adalah seorang yang kidal dan selepas ini terpaksa belajar menulis menggunakan tangan kanan.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui sangat menyesal atas apa yang berlaku dan sudah tentu tidak akan sesekali bermain mercun lagi.

Sementara itu, ibunya, Norhayati Baharudin, 50, berkata, ketika kejadian menimpa anaknya, dia sedang tidur di rumah mereka di Kampung Sokor di sini yang bersebelahan dengan Kampung Baloh kerana seharian mengalami sakit kepala.

"Jarak antara dua kampung hanya bersebelahan, saya tidak sedar anak saya keluar kerana kurang sihat, kakaknya memberitahu dia sudah larang bila nampak adik bongsunya memegang plastik mercun bola pada sebelah petang tetapi nasihat itu tidak dipedulikan," katanya. - K! ONLINE