Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, remaja berusia 13 tahun ditinggalkan bapanya yang melarikan diri daripada diberkas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurut sumber, semasa serbuan dilakukan didapati terdapat lima penagih dadah termasuk bapa remaja itu berusia 40-an.

Katanya, remaja itu pula sedang bermain telefon bimbit di biliknya.

“Tiga termasuk bapa remaja itu berjaya melarikan diri di kawasan semak di belakang rumah manakala seorang lelaki berusia 42 tahun dicekup pihak kami.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui peralatan penagihan dadah yang digunakan mereka,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Sumber sama turut memaklumkan siasatan awal mendapati ibu bapa remaja itu telah bercerai sejak 9 tahun lalu.

Ujar sumber itu, remaja itu juga didapati kerap tidak hadir ke sekolah.

“Remaja itu menjadi mangsa keadaan apabila ibunya enggan menjaganya sementara bapanya terjebak dalam dadah,” katanya.

Jelas sumber itu, operasi yang turut melibatkan kawasan Tanjung Sepat, Morib dan Labuhan Dagang itu menahan empat lagi penagih dadah berusia 20 hingga 42 tahun.

“Kesemua mereka didapati positif heroin dan syabu dan dibawa ke pejabat AADK Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi AADK Kuala Langat, Muhamad Firdaus Abu Talib mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. - K! ONLINE