Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa masih belum ditemui setelah operasi yang disambung semula pukul 8.30 pagi hingga petang tadi.

"Seramai 4 pegawai dan 31 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi ini.

"Penduduk kampung turut tampil membantu pihak berkuasa mencari mangsa termasuk ada yang menggunakan bot sendiri," katanya. 

Menurutnya, pencarian yang turut melibatkan unit skuba itu dilakukan di kawasan mangsa dipercayai lemas dan tebing sungai malah penduduk kampung ada yang menyusuri sungai hingga ke Benta. 

"Operasi akan bersambung semula esok dan kita harap mangsa dapat ditemui dengan cepat dan orang ramai dinasihatkan tidak menyebar maklumat palsu mengenai penemuan mayat sehingga diberitahu oleh pihak berkuasa," jelasnya. 

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sega itu dikatakan pergi ke sungai berkenaan untuk merakam gambar bersama dua rakannya kira-kira pukul 4.45 petang semalam. 

Mangsa dikatakan lemas selepas terjun ke dalam sungai dan dua rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal. - K! ONLINE