Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, dalam operasi pada pukul 10.05 pagi yang turut melibatkan anggota Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu juga menahan enam lagi pekerja melibatkan empat lelaki dan dua perempuan.

Menurutnya, tujuh pekerja di pusat perjudian online yang ditahan itu berusia antara 15 hingga 23 tahun.

Katanya, hasil siasatan ke atas pekerja terbabit, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai pemilik pusat perjudian online itu di Taman Saga di sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 20 Ogos lalu.

"Lelaki terbabit mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan perjudian mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini sebentar tadi.

Mohd. Rozi memberitahu, aktiviti sindiket perjudian online itu dipercayai telah mengendalikan pertaruhan bernilai kira-kira RM3.12 juta sejak beroperasi awal tahun ini.

Katanya, polis merampas beberapa peralatan untuk aktiviti perjudian online itu termasuk komputer, telefon bimbit, meja, kerusi, kalkulator, wang tunai RM929 dan buku serta kertas catatan yang bernilai keseluruhan RM150,000.

Selain itu, tambahnya, sebuah kereta jenis Honda Civic yang bernilai RM130,000 turut dirampas. - K! ONLINE