ARA San Juan (S-42) merupakan satu daripada dua buah kapal selam kelas Santa Cruz milik Argentina yang dibina oleh syarikat Jerman, Thyssen Nordseewerke dan mula beroperasi pada 1984 sebelum dinaik taraf pada 2014.

Kapal selam seberat 2,116 tan sepanjang 66 meter ini mampu menyelam sehingga pada kedalaman 300 meter dengan keupayaan beroperasi di bawah laut selama 30 hari. Kali terakhir ARA San Juan bersama 44 kru dapat dihubungi ialah pada 15 November lalu ketika dalam pelayaran sejak 13 November dari selatan negara itu dekat Ushaia ke Mar de Plata di utara.

Pihak tentera Argentina mengesahkan terdapat tujuh panggilan satelit dikesan dari kapal selam berkenaan tetapi gagal untuk berkomunikasi sebelum kapal selam itu terputus hubungan.

Komunikasi itu dikesan antara pukul 10.52 pagi hingga 3.42 petang dengan panggilan terakhir selama 36 saat. Lokasi terakhir kapal selam dikesan adalah sejauh 432 kilometer di luar perairan Argentina. Serentak dengan kehilangan itu, misi pencarian dilancarkan melibatkan kapal-kapal perang dan pesawat dari 18 buah negara termasuk Amerika Syarikat dengan keluasan zon pencarian kira-kira 40,000 meter persegi.

Setelah lebih dua minggu, akhirnya pihak tentera Argentina terpaksa akur apabila secara rasmi menamatkan misi penca­rian 44 kru kapal selam tetapi misi untuk mengesan lokasi kapal selam malang itu masih diteruskan.

Jurucakap Tentera Laut Argentina memaklumkan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa kesemua anak kapal itu terkorban memandangkan tiada sebarang bukti kapal karam ditemui di kawasan pencarian. Pengumuman itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara mangsa yang menyuarakan rasa kecewa mereka.

Tragedi ARA San Juan berlaku pada saat pihak tentera Argentina berhadapan dengan kemelut kegagalan kerajaan negara itu melaksanakan pemodenan pasukan tentera. Sejak tewas dalam Perang Falkland dengan Britain pada 1982, keupayaan angkatan tentera Argentina terbatas selain tidak mampu me­laksanakan perolehan baharu disebabkan masalah kewangan negara lantas masih bergantung kepada aset-aset usang.

Dalam pada itu, beberapa teori juga dikaitkan dengan kehilangan kapal selam ini, antaranya terputus bekalan elektrik yang menyebabkan sistem penyaluran oksigen terhenti dan berlaku letupan di ruang bateri.

Kehilangan ARA San Juan turut mengimbas tragedi yang berlaku ke atas kapal selam K-141 Kursk milik Tentera Laut Rusia di Laut Barent pada tahun 2000. Kebakaran yang berlaku dalam kapal selam berkuasa nuklear ini telah menyebabkan letupan di ruang torpedo dan mengorbankan kesemua 118 kru.

Seperkara lagi, tragedi ke atas kapal selam ARA San Juan di dasar laut hampir serupa dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 orang itu terputus hubungan ketika berada 120 batu nautika di timur Kota Kinabalu, Sabah di ruang udara Laut China Selatan.

Kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan satelit berkemungkinan dari satu daripada dua koridor iaitu koridor utara daripada sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand atau koridor selatan, lebih kurang dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Sebanyak 26 negara terlibat dalam operasi meliputi 2.24 juta batu nautika persegi. Pesawat dan kelengkapan yang digunakan juga adalah sama seperti pencarian ARA San Juan.

Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Malaysia, Australia dan China bersetuju menggantung operasi pencarian selama 34 bulan di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Sehingga hari ini jutaan rakyat Malaysia masih berdoa agar lokasi MH370 dapat dikesan dan sudah pasti harapan sama juga terbuku pada rakyat Argentina yang kehilangan ARA San Juan.