Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, hadiah keseluruhan wang tunai RM19,000 menanti para peserta pada pertandingan yang memasuki siri kelima itu tahun ini.

Menurutnya lagi, pertandingan itu bertemakan 'Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera' sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“JPKL bertandang ke Tasik Metropolitan Batu  bagi menenuhi kehendak ‘kaki pancing’ selain mahu menaikkan semula Taman Metropolitan Batu secara amnya.

“Penampilan rakan strategik yang baharu iaitu Sardin Viral turut bersama-sama merancakkan aktiviti sihat ini dengan sumbangan kepada para peserta yang mendaftar awal dan cabutan bertuah atas penganjuran JPKL yang masuk tahun ketujuh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies seperti patin dan jelawat bersaiz antara 4 hingga 5 kilogram di Tasik Metropolitan Batu semalam.

Beliau memberitahu, juara pertandingan tersebut akan membawa pulang RM5,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan pemenang ketiga bakal memperoleh RM1,000.

"Pemenang keempat akan menerima RM300, kelima hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 100 akan menerima RM100 setiap seorang," katanya.

Beliau turut menjangkakan seramai 1,000 peserta mengambil bahagian pada pertandingan itu selepas melihat sambutan yang cukup menggalakkan pada jelajah sebelum ini.

“Yuran RM35 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima cenderamata sumbangan penaja.

“Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari pukul 1 tengah hari hingga 9 malam dan esoknya (Ahad), kaunter dibuka pukul 6.30 hingga 10 pagi.

“Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman facebook JORANKL atau menghubungi urus setia di talian 013-305 2811, 013-266 7011 dan  012-284 6811,” jelasnya.

Turut memeriahkan JPKL 2018 ialah rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, Igloo, Blow dan Sardin Viral. - K! ONLINE