Semasa memberi keterangan sebagai saksi ke-47 pada hari ke-16 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan dan kubur berkenaan hari ini, Khalid berkata, dalang kes penyeludupan manusia berkenaan adalah dari Thailand.

“Siasatan tidak menunjukkan pihak sebelah sini (Malaysia) yang terlibat.

“Modus operandi yang biasa dilakukan ialah pendatang akan ditahan di Thailand sehingga keluarga masing-masing di Bangladesh membayar duit , barulah dibawa masuk ke Malaysia.

“Aktiviti (penyeludupan manusia) yang berlaku di sebelah Malaysia turut didalangi pihak Thailand,” kata Khalid yang kehadirannya pada prosiding itu menarik perhatian apabila galeri awam RCI dilihat hampir penuh.

Khalid berkata, kem penempatan sementara di Wang Kelian yang terletak 200 meter dari sempadan Malaysia-Thailand akan digunakan apabila pihak Thailand melakukan operasi penguatkuasaan.

“Bila Thailand ganggu mereka lari ke kawasan kita (Malaysia). Bila tidak ada (gangguan) mereka balik ke Thailand,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai kem utama di Thailand.

Katanya, Polis Diraja Malaysia pernah mengeluarkan senarai dikehendaki 10 nama warganegara Thailand yang terlibat dengan kes berkenaan.

Namun, katanya apabila beberapa individu dalam senarai itu ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand, permohonan Malaysia untuk menemuramah individu berkenaan tidak dibenarkan oleh Thailand. - Bernama