Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan semalam berkata, Raus dan Zulkefli telah menghantar surat peletakan jawatan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 7 Jun lalu.

“Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun lalu dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit Bahagian Urusan Diraja Istana Negara bertarikh 11 Jun lalu,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, kedua-dua tokoh kehakiman berusia 67 tahun tersebut sebelum itu telah menemui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Mei lalu untuk menyuarakan hasrat mereka melepaskan jawatan masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka memberitahu peletakan jawatan mereka akan berkuat kuasa selepas satu tempoh munasabah bagi membolehkan semua urusan kehakiman diselesaikan,” kata kenyataan itu lagi.

Pada April tahun lepas, Raus dan Zulkefli telah dilantik ke jawatan ma­sing-masing apabila bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bersara wajib pada usia 66 tahun.

Raus dan Zulkefli telah dilantik sebagai hakim untuk tempoh masing-masing tiga tahun dan dua tahun supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam jawatan ber­kenaan walaupun mereka telah mencapai umur persaraan 66 tahun.

Raus sepatutnya bersara pada 3 Ogos 2017 manakala Zulkefli pada 27 September 2017 selepas lanjutan selama enam bulan apabila mencapai umur 66 tahun.

Umur persaraan wajib bagi semua hakim ialah 66 tahun.

Dalam sidang akhbar di Tok­yo kelmarin, Mahathir membe­ritahu, Majlis Penasihat Kerajaan sudah memberi isyarat kepada dua hakim tertinggi itu agar mereka meletak jawatan.

Perdana Menteri membe­ritahu, jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan menyingkirkan mereka kerana lanjutan tempoh mereka memegang jawatan hakim kanan tersebut disifatkan sebagai tidak betul.

Tahun lalu, Mahathir memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan pelantikan Raus dan Zulkefli menyalahi undang-undang tetapi ditolak. Pengerusi Pakatan Harapan itu kemudiannya mengemukakan rayuan.

Raus, Zulkefli letak jawatan 31 Julai